Sunday, 27 May 2018

Karangan Bahasa Melayu "semangat kejiranan"



Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara kita semakin longgar. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dapat ditingkatkan.

contoh jawapan:


    
Jiran merupakan orang yang tinggal di kiri, kanan, depan dan belakang yang berdekatan dengan rumah kita. Bagi penduduk di kampung pula, jiran merupakan orang yang tinggal sekampung dengan kita yang dikenali sebagai jiran tetangga. Jiran merupakan aspek yang penting yang diperlukan oleh hidup kita dalam keadaan susah mahupun senang. Bak kata pepatah ‘Jiran Sepakat Membawa Berkat’. Itulah salah satu pepatah yang perlu dan wajib dicontohi oleh masyarakat di negara kita. Namun, rakyat di negara kita seperti kata peribahasa ‘Bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ yang langsung tidak mengetahui keadaan di sekelling mereka dan hanya membuat hal individu sahaja. Sikap ini perlu dicegah dari awal demi memupuk semangat perpaduan yang kukuh dan menjaga maruah serta identiti negara.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk menyemarakkan semangat kejiranan termasuklah dengan mengadakan rumah terbuka. Rumah terbuka merupakan suatu adat dan budaya yang diamalkan oleh semua masyarakat di Malaysia tanpa mengira kaum. Rumah terbuka juga merupakan suatu majlis menjamu selera untuk jiran tetangga demi meraikan sesuatu terutamanya pada musim perayaan. Apabila kita mengadakan rumah terbuka, ramai jiran akan hadir ke majlis rumah terbuka kita. Pada masa itulah kita dapat mengenali jiran-jiran yang tinggal berdekatan dengan rumah kita. Kita boleh berbual, berkongsi berita dan lain-lain lagi. Mengadakan rumah terbuka juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat. Apabila selesai sahaja rumah terbuka tersebut, jiran-jiran boleh bekerjasama mengemas barang-barang. Siakp ini perlu dipupuk oleh seluruh masyarakat bagi meringankan beban jiran yang mengadakan majlis. Di samping itu, rumah terbuka juga dapat memupuk amalan bersedekah. Ini kerana jika terdapat lauk-pauk yang tidak dapat dihabiskan, lauk-pauk tersebut boleh disedekahkan kepada jiran yang membantu kita.

Selain itu, amalan kunjung-mengunjung juga dapat meningkatkan kembali semangat kejiranan di negara kita. Amalan kunjung-mengunjung ini boleh diadakan apabila salah seorang jiran menghadapi masalah seperti bencana ataupun masalah kesihatan. Jiran yang prihatin akan menziarahi jiran yang susah demi meringankan beban dan melegakan hati si jiran. Namun begitu, amalan kunjung-mengunjung juga boleh diadakan apabila pada musim perayaan. Anak-anak jiran boleh berkumpul dan beraya ke rumah jiran-jiran. Anak-anak jiran ini boleh berkawan serta mengenali sesama sendiri. Apabila anak-anak jiran ini mula berkawan, mereka boleh berbincang tentang pelnagai topik terutamaya berkenaan dengan subjek yang kurang difahami. Di samping itu, amalan kunjung-mengunjung juga diadakan apabila terdapat salah seorang daripada jiran tetangga yang telah meninggal dunia. Jiran-jiran itu perlu menziarahi keluarga si mati dan perlu membaca Yassin, mensedekahkan Al-Fatihah dan mengucapkan takziah  kepad ahli keluarga si mati.

Seterusnya, semangat kejiranan juga dapat ditingkatkan dengan mengadakan aktiviti gotong-royong antara penduduk di sesebuah taman perumahan. Aktiviti gotong-royong merupakan aktiviti yang diakukan secara bekerjasama untuk membersihkan sesuatu kawasan. Contoh aktiviti gotong-royong termasuklah membersihkan longkang, menanam pokok bunga dan sebagainya. Sebab mengapa ktoviti gotong-royong ini dapat meningkatkan semangat kejiranan ialah kerana aktiviti ini dilakukan secara bekerjasama. Sudah tentulah jiran-jiran dapat bekerjasama dalam membersihkan taman perumahan serta membolehkan jiran memahami natar satu sama lain. Aktiviti ini juga membolehkan jiran bertukar idea serta pandangan untuk menceriakan tama perumahan, ini membuatkan taman perumahan lebih terjaga seta ceria dari sudut pandangan dan hati berkat kerjasam antara jiran tetangga,

Akhir sekali, langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan semangat kejiranan ialah dengan mengadakan persatuan penduduk. Persatuan penduduk ini membolehkan jiran tetangga membincangkan masalah berkenaan dengan taman perumahan mahupun sesebuah kampung. Jiran-jiran boleh berkongsi pendapat mengenai cara untuk menjelaskan masalah tersebut. Selain itu, persatuan penduduk juga dapat menyatupadukan pertalian antara jiran tetangga. Ini kerana jika terdapat masalah yang timbul di kawasan perumahan, semua jiran tetangga perlu melibatkan diri dalam menyelesaikan masalah tersebut. Sebagai contoh, sesebuah taman perumahan perlu membina jadual rondaan untuk mengelakkan kes kecurian dan rompakan. Jadual tersebut ialah jadual jiran mengikut giliran untuk meronda di kawasan taman perumahan. Cara ini dapat mencegah daripada berlakunya perselisihan faham antara penduduk sekaligus dapat menyemarakkan semangat kejiranan.

Kesimpulannya, semangat kejiranan ini perlu hadir dalam diri setiap individu bagi memupuk perpaduan antara penduduk. Janganlah kita bersikap sombong terhadap jiran kerana jiran inilah yang akanmembantu kita dalam saat kecemasan mahupun saat genting. Dari segi syariat Islam pula, beradab dan bergaul dengan jiran tetangga merupakan suatu kewajipan dan jika kita meninggalkannnya, kita akan mendapat dosa besar. Justeru, sebagai individu yang prihatin, marilah kita berpegangan tangan demi meningkatkan semula semangat kejiranan di negara kita dan mengubah negara Malaysia menjadi negara yang lebih aman serta makmur tanpa pergaduhan atau perusuhan.


[738 patah perkataan]



















'

No comments:

Post a Comment